HUKUM BERTAWASSUL
Semalam saya telah kongsikan sebuah artikel mengenai bertawassul dengan Ahli Badar. Saya dapati ada segelintir yang masih belum faham dan keliru dengan konsep tawassul sehingga ada yang sampai melemparkan perkataan yang sangat keji kepada sesama saudara Muslim sendiri iaitu dengan tuduhan syirik. Saya terpanggil untuk menulis mengenainya agar kita tidak mudah menghukum syirik kepada orang lain lantaran kejahilan atau belum sampai ilmu kepadanya.
Tawassul pada syara’ bermaksud sesuatu permohonan atau doa kepada Allah yang dipohon oleh seseorang mukmin dengan melalui perantaraan amalan saleh atau melalui perantaraan seseorang supaya apa yang dihajati diperkenan oleh Allah atau supaya sesuatu perkara yang diminta akan dipermudahkan pemakbulan olehNya.
Shaykh Dr.Wahbah al-Zuhaili: “Majoriti Ulama Ahli Sunnah – kecuali sebahagian yang berbeza dengan majoriti – memperkenankan bertawassul dengan nabi-nabi dan orang soleh sama ada masih hidup mahupun sudah mati, yang dimaksud di sini adalah bertawassul dengan kebaikan amalan mereka dan kedekatan mereka dengan Allah. Dan telah benar-benar menuliskan pernyataan ini oleh kitab Ensiklopedia Fiqh versi Kuwait. Sedangkan orang yang tidak mahu bertawassul maka aku berpendapat bahawa dia hanya membatasi kebaikan pada dirinya sendiri (tidak mahu kebaikan datang dari orang lain)”. (Fatawa Mu’asirah, ms.355)
Amalan bertawassul adalah tidak bertentangan dengan Aqidah yang sahih kerana memohon kepada Allah melalui perantaraan bukanlah termasuk sesuatu yang menduakan Allah (syirik). Syirik itu bukan terletak pada perbuatan meminta tolong, tetapi pada meyakini ada sesuatu selain Allah yang berkuasa memberi manfaat atau menolak mudarat.
Ada komen yang menyebutkan bahawa amalan bertawassul ini dapat membawa kepada penyembahan manusia yang lama kelamaan dijadikan berhala dengan berdalilkan ayat al-Quran:
ما نَعبُدُهُم إِلّا لِيُقَرِّبونا إِلَى اللهِ زُلفىٰ
“Penyembah berhala berkata): Kami tidak menyembah mereka (berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”,(al-Zumar:3).
Ayat ini jelas menyatakan bahawa musyrikin menyembah berhala bukan menjadikannya perantaraan, amat besar perbezaan antara “sembah” dan “wasilah”. Sedangkan dalam bertawassul, orang Islam tidak menjadikan wasilah perantaraan sebagai sembahan mereka. Jika ayat ini difahami bahawa tidak boleh meminta pertolongan dengan perantaraan makhluk, maka ia sudah pasti menyalahi Sunnah RasuluLlah ﷺ kerana dalam hadith yang sahih menyebutkan kisah 3 orang lelaki yang terperangkap dalam gua ditutupi oleh batu besar. Lalu mereka bertawassul dengan amalan mereka kemudian semua dapat terlepas daripadanya. Seandainya konsep wasilah ditolak, maka tertolak juga berwasilah dengan amalan kerana amalan manusia juga merupakan makhluk ciptaan Allah.
Ada pula komen yang menyebut bahawa tawassul adalah syirik dengan berdalilkan ayat dalam al-Fatihah: “Iyyaka Na’budu wa iyyaka nasta’in” (Hanya kepadaMu kami sembah dan hanya kepadaMu kami meminta pertolongan”. Ayat ini bukan larangan untuk meminta pertolongan dengan perantaraan kerana konsep tawassul ialah sebenarnya memohon kepada Allah dengan keyakinan bahawa pertolongan yang hakiki hanya datang dari Allah bukan makhluk, adapun makhluk hanyalah pada martabat asbab agar dipermudahkan pemakbulan doa.
Jika ayat ini membawa makna tidak boleh meminta pertolongan kepada selain ALlah, maka bermakna untuk meminta pertolongan dari orang yang masih hidup juga adalah terlarang kerana hanya boleh meminta tolong kepada Allah dan ini adalah bertentangan dengan Sunnah RasuluLlah ﷺ.
Jika ada yang menggunakan dalil diatas bahawasanya doa perlu terus langsung kepada Allah dan tidak perlu bertawassul. Maka hal tersebut sekaligus menafikan amalan tawassul secara keseluruhan dan hal tersebut bercanggah dengan Sunnah Rasulullah dan Sunnah Khulafa al-Rashidin kerana dalam hadis yang sahih meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW juga mengajarkan sahabat untuk bertawassul dengan Baginda saw dan Sayyidina Umar al-Khattab pernah bertawassul dengan Sayyidina Abbas ketika kemarau melanda. Jika tawassul adalah sesuatu yang salah, mengapa mereka tidak meminta terus kepada Allah tanpa bertawassul. Ini jelas kepincangan kefahaman pihak yang gagal memahami konsep tawassul yang sebenar. Pada hakikatnya, tawassul atau istighasah juga adalah termasuk dalam konteks meminta terus kepada Allah.
Perlu ditegaskan disini bahawa seseorang yang memohon pertolongan secara zahir dari makhluk adalah dibenarkan dalam hal-hal dan situasi yang tertentu, akan tetapi hatinya tidak dibenarkan sekali-kali mengharap dari mereka, bahkan hatinya tetap meminta pertolongan dan berharap dari Allah, dan itulah yang dimaksudkan dengan "iyyaka nasta'in" (hanya kepadaMu kami mohon pertolongan). Kerana, setiap makhluk yang diminta pertolongan itu juga masih memerlukan pertolongan Allah dalam hidup mereka.
Jika ada yang mengatakan bahawa tawassul itu hanya dibenarkan kepada yang masih hidup dan tidak boleh kepada yang sudah meninggal dunia, bermakna dia meyakini bahawa orang yang masih hidup berkuasa untuk memberi pertolongan kepadanya, walhal dalam Aqidah yang sahih, sama ada seseorang yang diminta tolong itu masih hidup atau sudah meninggal, dalam kedua-dua keadaan tersebut, hanya Allah Ta’ala sahaja yang berkuasa memberi pertolongan.
Maka seseorang yang berdoa dengan tawassul adalah sebenarnya termasuk dalam pengertian berdoa secara langsung kepada Allah dengan hatinya meyakini bahawa pertolongan hanya datang dari Allah. Juga tidak dijumpai mana-mana hadith yang melarang untuk bertawassul dengan orang yang sudah meninggal dunia. Hendaklah difahami, orang yang sudah meninggal adalah sebenarnya hidup di alam yang lain. Maka, tidak ada yang dinamakan syirik dalam hal tersebut. Lebih-lebih lagi bertawassul dengan Ahli Badar yang syahid di jalan Allah, mereka sebenarnya hidup, Firman Allah Ta'ala:
وَلَا تَقُوْلُوْا لِمَنْ يُّقْتَلُ فِيْ سَبِيْلِ اللّٰهِ اَمْوَا تٌ ۗ بَلْ اَحْيَآءٌ وَّلٰـكِنْ لَّا تَشْعُرُوْنَ
"Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Ugama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya."
(Al-Baqarah:154)
Bahkan seseorang itu dapat mengetahui bahawa dirinya berada dalam kelompok yang menyimpang apabila dia mendapati dirinya dengan mudah menjatuhkan hukum syirik kepada sebahagian amalan orang Islam, kerana perbuatan tersebut bertentangan dengan jaminan yang telah dibuat oleh Rasulullah ﷺ lebih dari 1400 tahun yang lampau. Sabda RasuluLlah ﷺ:
وَإِنِّي وَاللَّهِ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ أَنْ تُشْرِكُوا بَعْدِي، وَلَكِنِّي أَخَافُ عَلَيْكُمْ أَنْ تَنَافَسُوا فِيهَا
Demi Allah! Saya tidak takut bahawa selepas saya, anda akan menyembah orang lain selain Allah, tetapi Saya takut bahawa anda akan mula bersaing untuk (kesenangan) dunia ini”. (Sahih al-Bukhari)
Baginda ﷺ juga bersabda:
إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَتَخَوَّفُ عَلَى أُمَّتِي الْإِشْرَاكُ بِاللَّهِ ، أَمَا إِنِّي لَسْتُ أَقُولُ يَعْبُدُونَ شَمْسًا وَلَا قَمَرًا وَلَا وَثَنًا ، وَلَكِنْ أَعْمَالًا لِغَيْرِ اللَّهِ ، وَشَهْوَةً خَفِيَّةً
Sesungguhnya sesuatu yang paling daku khuatirkan atas ummatku adalah syirik kepada Allah, daku tidak mengatakan bahawa mereka menyembah matahari dan juga bulan, tidak pula menyembah berhala. Akan tetapi mereka beramal tidak ikhlas kerana selain Allah dan syahwat yang tersembunyi. (Riwayat Ibnu Majah)
Bagaimana mungkin seseorang itu dengan mudah menuduh syirik kepada saudara Muslimnya yang lain sedangkan Nabi Muhammad ﷺ telah menyatakan dalam hadith yang sahih bahawa syirik (menyembah selain Allah) bukan sesuatu yang common berlaku pada umatnya, apa yang Baginda khuatiri adalah sifat berlumba-lumba dengan keduniaan, amalan yang dilakukan secara riya, dan penuh syahwat yang tersembunyi iaitu inginkan nama harum, kemasyhuran dan lain-lain.
Pada hakikatnya, seorang yang makan ubat dengan meyakini ubat itu yang berkuasa menyembuhkan maka dia sebenarnya telah syirik kepada ALlah. Maka masalah bukan pada ubat tapi pada keyakinannya. Jika ada yang mengatakan lebih baik diharamkan bertawassul kerana ia boleh jatuh kepada syirik, maka sudah perlu diharamkan pula memakan ubat kerana boleh membawa kepada syirik. Sudah tentu ianya tidak terpakai kerana sesuatu yang asalnya harus, hendaklah dinyatakan keharusannya dan apa yang seorang Mukmin perlu usahakan ialah betulkan keyakinannya kepada Allah.
Amalan bertawassul telah bermula dari zaman awal Islam sehinggalah ke saat ini, namun tidak pernah dilaporkan bahawa ada mana-mana Mukmin yang menyembah seseorang manusia itu sebagai tuhannya atau dijadikan berhala. Demikian itu adalah kebenaran sabdaan RasuluLlah ﷺ di atas bahawa umatnya terselamat dari perbuatan syirik akbar.
Dalil Tawassul Dengan Orang Yang Sudah Meninggal Dunia
Firman ِ Allah Ta’ala:
يا أَيُّهَا الَّذينَ ءآمَنُوا اتَّقُوا اللهَ وَابتَغوا إِلَيهِ الوَسيلَةَ وَجٰهِدوا في سَبيلِهِ لَعَلَّكُم تُفلِحونَ
Wahai orang-orang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah (perantara) yang boleh menyampaikan kepadaNya, dan bermujahadahlah di jalan Allah supaya kamu beroleh kemenangan. (Surah al-Ma’idah:35)
Mufassirin menyebutkan maksud wasilah dalam ayat ini adalah qurbah yakni kedekatan diri kepada Allah dan yang paling utama adalah bermujahadah di Jalan Allah. Imam Ibnu Ajibah dalam Tafsir al-Bahr al-Madid ketika menafsirkan ayat ini mengisyaratkan bahawa wasilah yang terdekat untuk menyampaikan seseorang kepada Allah ialah perdampingan dengan para Arifin (orang-orang yang mengenal Allah). Imam al-Alusi dalam Tafsir Ruh al-Ma’ani mengatakan bahawa amalan tawassul dan istighathah adalah termasuk dalam salah satu pengertian al-wasilah dalam ayat ini. Imam al-Qurtubi dalam Tafsirnya dan Imam Ismail Haqqi dalam Tafsir Ruh al-Bayan, menyatakan salah satu pengertian al-wasilah di dalam ayat ini ialah keterkaitannya dengan kedudukan istimewa Rasulullah ﷺ di akhirat.
Imam Taj al-Din al-Subki dalam kitabnya Shifa’ al-Saqam mengatakan bahawa tawassul dan istighathah mempunyai hukum yang sama iaitu diperbolehkan dan hakikat kedua-duanya adalah meminta pertolongan Allah menerusi makhlukNya yang mempunyai kedudukan yang tinggi disisiNya, yang mana perantaraan itu adalah pada tingkatan ‘sebab” untuk memudahkan pengabulan doa, dan bukan sebagai “musabbib al-asbab” yang mengambil kedudukan Allah. Makhluk yang dijadikan perantaraan itu diyakini tidak dapat memberi manfaat dan mudarat tanpa Izin Allah sama ada makhluk itu masih hidup mahupun telah meninggal dunia. Selesai nukilan.
Kisah do’a tawassul yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ Kepada Sahabat Nabi yang diamalkan oleh beliau ketika Nabi ﷺ masih dihidup dan setelah kewafatannya:
“Diriwayatkan dari Uthman bin Hunaif bahawa ada seorang lelaki datang kepada (Khalifah) Uthman bin Affan untuk memenuhi hajatnya, namun Sayyidina Uthman tidak menoleh ke arahnya dan tidak sempat mempedulikan keinginannya. Kemudian ia bertemu dengan Uthman bin Hunaif (perawi) dan mengadu kepadanya. Sayyidina Uthman bin Hunaif berkata: Ambillah air wudhu' kemudian masuklah ke masjid, solatlah dua rakaat dan bacalah: “Ya Allah sesungguhnya aku meminta-Mu dan menghadap kepada-Mu melalui Nabi-Mu yang penuh kasih sayang, wahai Muhammad sesungguhnya aku menghadap kepadamu dan minta Tuhanmu melaluimu agar hajatku dikabulkan. Sebutlah apa keinginanmu”. Lalu lelaki tadi melakukan apa yang dikatakan oleh Utsman bin Hunaif dan ia memasuki pintu (Khalifah) Uthman bin Affan. Maka para penjaga memegang tangannya dan dibawa masuk ke hadapan Utsman bin Affan dan diletakkan di tempat duduk. Uthman bin Affan berkata: Apa hajatmu? Lelaki tersebut menyampaikan hajatnya, dan Uthman bin Affan memutuskan permasalahannya”.
Peristiwa diatas terjadi ketika zaman pemerintahan Sayyidina Uthman bin Affan iaitu setelah kewafatan Rasulullah SAW.
(HR. Al-Thabrani dalam al-Mu'jam al-Kabir dan al-Baihaqi dalam Dalail al-Nubuwwah. Doa ini dikutip oleh Ibnu Taimiyah dalam kitabnya Majmu' al-Fatawa, I/264, dan al-Tawassul wa al-Wasilah, II/199)
Ulama' Ahli hadith al-Hafiz al-Haithami berkata: “Dan sungguh al-Tabrani berkata (setelah al-Tabrani menyebut semua jalur riwayatnya): "Riwayat ini sahih”. (Majma’ al-Zawaid, II/565)
Bahkan Sayyidina Uthman bin Hunaif menyaksikan sendiri ketika Rasulullah ﷺ mengajarkan doa Tawassul diatas sebagaimana dalam riwayat sahih berikut ini: “Dari Uthman bin Hunaif: “Suatu hari seorang yang buta datang kepada Rasulullah saw, ia berkata: “Wahai Rasulullah, ajarkan saya sebuah doa yang akan saya baca agar Allah mengembalikan penglihatan saya”. Rasulullah berkata: “Bacalah doa *(Allahumma inni as'aluka wa atawajjahu ilaika bi nabiyyika nabiyyirrahmati Ya Muhammad qad tawajjahtu bika ila Rabbi. Allahumma Shaffi'hu fiyya wa syaffi'ni fi nafsi) “Ya Allah sesungguhnya aku meminta-Mu dan menghadap kepada-Mu melalui Nabi-Mu yang penuh kasih sayang, wahai Muhammad sesungguhnya aku menghadap kepadamu dan minta Tuhanmu melaluimu agar dibukakan mataku, Ya Allah berilah ia syafaat untukku dan berilah aku syafaat. Kemudian ia berdoa.".
Seandainya bertawassul dengan orang yang meninggal dunia adalah sesuatu yang syirik, sudah tentu Sayyidina Uthman bin Hunayf mengajarkannya kepada lelaki buta tersebut.
2. Menyeru kepada Hamba Allah yang saleh apabila mempunyai hajat yang mendesak
Dari Sayyidina Ibnu ‘Abbas bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
* فَإِذَا أَصَابَ أَحَدَكُمْ عَرْجَةٌ بِأَرْضٍ فَلاَةٍ فَلْيُنَادِ أَعِيْنُوْا عِبَادَ اللهِ
Jika kalian ditimpa kesulitan di suatu padang pasir maka hendaklah mengatakan: “Tolonglah aku, wahai para hamba Allah”.
Riwayat Al-Tabrani, al-Bazzar dan Ibnu al-Sunni dan al-Hafiz al-Haithami berkata: “Para perawinya adalah thiqat”.
Hadith ini jelas menunjukkan keharusan istighathah dengan selain Allah Ta’ala kerana terdapat di dalamnya keterangan bahawa Baginda Nabi ﷺ mengajarkan kita berkata apabila seseorang itu ditimpa masalah di padang yang luas di permukaan bumi ini maka hendaklah dia menyeru :
_“Wahai hamba Allah tolonglah daku”._ Sesungguhnya perkara ini memberikan manfaat kepadanya. Hadith ini pula dinilai hasan oleh al-Hafiz ibn Hajar Asqalani dalam al-Amaliy.
Mulla 'Ali Qari (Ulama Hadis) menulis bahawa Nabi kita Muhammad ﷺ, (semoga Allah memberkati dan memberinya kedamaian), mengatakan bahawa: * Jika anda berada di hutan lalu tersesat katakan, "Wahai hamba-hamba Allah! Tolong saya. " Hamba-hamba Allah adalah malaikat, Muslim, jin, atau 'abdal (roh wali Allah). Hadis ini berguna untuk pengembara.
(al-Hirzu al-Thamin, halaman 378, oleh Mulla 'Ali Qari)
Pengalaman Imam Ahmad dan Imam Nawawi berkenaan hadis ini. Mereka menceritakan pengalaman mereka yang mengamalkan hadis tersebut:
Imam Aḥmad b. Ḥanbal. Kata ‘Abd Allāh, anak Imam Aḥmad bahawa ayahnya berkata:
حججت خمس حجج منها ثنتين [راكبا] وثلاثة ماشيا، أو ثنتين ماشيا وثلاثة راكبا، فضللت الطريق في حجة وكنت ماشيا، فجعلت أقول: (يا عباد الله دلونا على الطريق!) فلم أزل أقول ذلك حتى وقعت على الطريق.
“Aku mengerjakan haji sebanyak lima kali, dua kali dengan menunggang dan tiga kali dengan berjalan kaki – atau dua kali berjalan kaki dan tiga kali dengan menunggang – lalu aku tersesat dalam satu kali yang aku pergi dengan berjalan kaki. Aku pun berkata, ‘wahai hamba-hamba Allah, tunjuklah jalan kepada kami.’ Aku tidak henti-henti mengucapkannya sehingga aku berada di atas jalan (yang sebenar).’ ( Kitab Masa’il)
Kedua, guru kepada Imam al-Nawawī dan beliau sendiri. Kata Imam al-Nawawī:
حكى لي بعض شيوخنا الكبار في العلم أنه أفلتت له دابّة -أظنُّها بغلة- وكان يَعرفُ هذا الحديث، فقاله، فحبسَها الله عليهم في الحال، وكنتُ أنا مرّةً مع جماعة، فانفلتت منها بهيمةٌ وعجزوا عنها، فقلتُه، فوقفت في الحال بغيرِ سببٍ سوى هذا الكلام.
“Sebahagian guru kami yang hebat ilmunya bercerita kepadaku bahawa tunggangannya terlepas – aku rasa baghal betina – dan dia mengetahui hadis ini, lalu dia pun menyebutnya dan Allah pun menangkapkannya kepada mereka serta-merta. Aku sendiri pernah sekali bersama satu jemaah dan seekor haiwan terlepas dan mereka tidak mampu menangkapnya. Aku pun mengucapkannya dan dia berhenti serta-merta tanpa apa-apa sebab selain ucapan ini.”
(Kitab al-Azkar dan Bustanul Arifin, Imam Nawawi)
Kata al-Bazzār, “terbukti berhasil” dan kata al-Bayhaqī, “diamalkan oleh ahli-ahli ilmu yang soleh kerana ada benarnya mengikut pengalaman mereka.”
Imam al-Tabari dalam al-Tarikh (3/293) dan Imam Ibnu Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (9/465) meriwayatkan bahawa ketika pemerintahan Sayyidina Abu Bakar, telah berlaku Perang Yamamah, di mana Panglima Perang Islam, Sayyidina Khalid bin Walid (ra) telah menetapkan seruan “Ya Muhammadah” (Bantulah wahai Nabi Muhammad) sebagai laungan khusus bagi tentera Muslimin untuk menyebutnya ketika dalam peperangan melawan kelompok murtad.
Imam Ibnu al-Athir dalam al-Kamil (5/114) meriwayatkan bahawa pada tahun 137H (era Salaf al-Salihin), sebahagian kaum Muslimin telah ditawan oleh tentera Majusi, dan ketika tawanan melihat tentera Muslimin mara ke arah mereka maka mereka melaungkan “Wa Muhammadah” (Bantulah wahai Nabi Muhammad).
Imam al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (no.964) meriwayatkan bahawa Sayyidina Abdullah Ibnu Umar (ra) mengalami sesemut dan kebas pada kakinya maka seorang sahabat telah berkata kepada, “Serulah nama orang yang paling kamu cintai!”. Maka beliau terus menyebut, “Ya Muhammad!”. Semua peristiwa adalah berlaku setelah kewafatan RasuluLlah ﷺ.
Dalam Negeri Selangor, setiap khutbah Jumaat, pasti akan dibacakan doa tawassul dengan Nabi Muhammad ﷺ. Jika bertawassul dengan orang yang sudah meninggal adalah syirik, sudah tentu doa ini tidak diluluskan oleh pihak Mufti. Bacaan doanya ialah:
اللهم اِنَّا نَسْئَلُكَ وَنَتَوَجَّهُ اِلَيكَ بِنَبِيِّكَ الْاَمِين
Ya Allah! Kami memohon dan bertawajjuh kepadaMu menerusi wasilah NabiMu yang al-Amin.
Amalan bertawassul adalah suatu bentuk kerendahan diri kita yang penuh kekurangan dihadapan Allah dengan mengakui kelebihan yang Allah kurniakan kepada hamba-hambaNya yang saleh. Seseorang yang merasa amalan sudah mencukupi untuk doanya diperkenan oleh Allah dan tidak ingin bertawassul seluruh umur hidupnya, adalah terpulang kepada dirinya sendiri. Akan tetapi jangan sampai mensyirikkan orang yang ingin melakukannya kerana orang yang bertawassul tetap meminta kepada Allah dengan menyaksikan nikmat Allah ke atas sebahagian hamba-hambaNya yang tinggi kesalehan mereka.
Sebagai penutup, ingin dijelaskan bahawa amalan bertawassul adalah merupakan khilafiyah antara ulama, maka kaedah dalam menyikapi perselisihan antara ulama hendaklah saling hormat menghormati dan berlapang dengan perbezaan yang terjadi dikalangan Ulama sehingga tidak mudah mengucapkan perkataan keji sedahsyat sirik terhadap Ahli La Ilaha illa Allah yang berkiblatkan Ka’bah dalam solat mereka (Ahli Qiblah).
Pesanan saya buat saudara-saudara yang saya kasihi dari yang kuat berlatarbelakang hadis sahih, saya juga bersama kalian, namun bersikap adillah dalam menilai sesebuah kelompok. Jangan mudah jump to conclusion dan tergesa-gesa membuat kenyataan bukan pada tempatnya. Teruslah mencari kebenaran namun jangan kerana kita membaca beberapa buah kitab atau belajar sesebuah pemikiran atau melihat beberapa gambar yang berlegar di alam maya kemudian dengan melulu menghukum orang lain dengan syirik, sesat atau sebagainya.
iqbal zain al-jauhari
Sumber FB : Ustad Iqbal Zain
30 April 2021