Mengapa Tidak Memilih yang Halal?

Mengapa Tidak Memilih yang Halal?

Mengapa Tidak Memilih yang Halal?

1. Seorang wanita hanya perlu berhias untuk seorang lelaki, iaitu suaminya. Namun berapa ramai wanita yang berhias apabila keluar rumah sedangkan suaminya tiada ditempat yang hendak ditujuinya itu.

Sedang Allah SWT berfirman ;

وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى

“Dan hendaklah kamu tetap di rumahmu dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang Jahiliyyah yang dahulu.” [Al Ahzab: 33]

Wanita hanya perlu kekal cantik dimata seorang lelaki, mereka hanya perlu menjaga penampilan, pakaian dan perangai dihadapan suami mereka. Justeru fesyen pakaian mereka ialah apa yang dapat menarik hati suami mereka.

Warna yang dipilih ialah warna yang disukai oleh suami, jenis kain dan corak yang dipakai ialah yang disukai suami. Pendek kata, kecantikan mereka hanya perlu ditatap oleh seorang lelaki semata-mata bukan selainnya.

Namun mengapa mereka tidak melakukannya ? Mengapa mereka perlu bersusah payah 'make-up' dan bersusah payah menjaga kecantikan bukan untuk suami mereka? Memilih pakaian berjam-jam sedang bukan untuk ditatap oleh sang suami tetapi lelaki-lelaki jalang yang menikmati kecantikan dirinya secara percuma?

Wahai wanita, make-up dan bercantik-cantiklah untuk suamimu...Agar mereka tidak memandang yang lain selain dirimu !

Daripada Abu Hurairah RA yang berkata ;

قِيلَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَيُّ النِّسَاءِ خَيْرٌ قَالَ الَّتِي تَسُرُّهُ إِذَا نَظَرَ 

Ditanyakan kepada Rasulullah salallahualaihiwasallam, Siapakah wanita yang paling baik? Lalu dijawab oleh baginda iaitu yang menyenangkan hati suami apabila memandangnya....[Riwayat Ahmad dan Al-Nasaie]

2. Adapun seorang lelaki, dirinya pula hanya perlu tertarik kepada seorang sehingga kepada empat wanita sahaja iaitu isteri-isterinya (lelaki dibenarkan menikahi sehingga empat sahaja). Seorang lelaki hanya boleh memandang dan menjamu mata dan batinnya dengan isterinya yang halal.

Lihatlah isterinya, perhatikan dia sepuas-puasnya biar juling biji mata kerana ianya halal buat sang suami.

Bahagian rambut, bahagian badan yang di atas, bahagian tengah, kiri, kanan, depan dan belakang maka perhatikanlah isteri-isterimu. Jamulah nafsu dan batinmu, puaskanlah diri dengan memandang apa yang halal buatmu.

Lakukanlah apa yang dibenarkan, sentuhlah dengan membaca nama Allah moga keberkatan diberikan buat kita semua.

Lalu kenapa para lelaki tidak memandang isteri masing-masing? Burukkah isteri-isterimu ? Hodohkah dia? Lalu kenapa kamu kahwininya dahulu ? Jemukah? Bosankah?

Tinggalkanlah yang haram dan carilah yang halal kerana baginda salallahualaihiwasallam bersabda ;

إِنَّكَ لَنْ تَدَعَ شَيْئًا للهِ عَزَّ وَجَلَّ إِلاَّ بَدَّلَكَ اللهُ بِهِ مَا هُوَ خَيْرٌ لَكَ مِنْهُ

Sesungguhnya tidaklah engkau meninggalkan sesuatu kerana Allah 'Azza wa Jalla, kecuali Allah akan menggantikannya bagimu dengan sesuatu yang lebih baik bagimu. [Riwayat Ahmad]

Ketahuilah seseorang itu tidak hilang kenikmatan pada perkara yang halal kecuali kerana dia telah terjebak dengan perkara yang haram sehingga ditarik kenikmatan yang halal buatnya.

Tinggalkanlah yang haram, carilah yang halal !

Sebagaimana kata Nabi salallahualaihiwasallam ;

وَأَتْبِعِ السَّيِّئَةَ الْحَسَنَةَ تَمْحُهَا 

Dan ikutilah keburukan itu dengan kebaikan (gantikan yang buruk dengan yang baik) nescaya yang buruk itu akan dapat dipadamkan kesalahannya. [Riwayat al-Tirmidzi]

Sumber FB Ustadz : Zafrullah Zafrullah

©Terima kasih telah membaca kajian ulama ahlussunnah dengan judul "Mengapa Tidak Memilih yang Halal? - Kajian Ulama". Semoga Allah senantiasa memberikan Ilmu, Taufiq dan Hidayah-Nya untuk kita semua. aamiin. by Kajian Ulama Aswaja ®