Penjelasan Tambahan Berkenaan Tawassul dan Asal-Usul Polemik Mengenainya

PENJELASAN TAMBAHAN BERKENAAN TAWASSUL DAN ASAL-USUL POLEMIK MENGENAINYA

Oleh : Ustaz Dr. Mohd Khafidz bin Soroni

Pensyarah Jabatan al-Quran dan as-Sunnah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa  Selangor (KUIS) 

   Isu tawassul merupakan isu yang telah lama diselesaikan oleh para ulama'. Bagaimanapun, disebabkan kekeliruan terus berlaku dalam kalangan masyarakat kerana sering dimomokkan oleh pihak tertentu, maka ia terus diperkatakan. Oleh kerana amalan tawassul ini terus dipersoalkan, maka isu ini juga perlu terus diperjelaskan.

    Dalam berdoa dengan wasilah, bererti seseorang bertaqarrub atau mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sesuatu yang dicintai dan diredhai olehNya, seperti bertaqarrub dengan ibadah dan amalan soleh yang dikerjakan atau bertaqarrub dengan para nabi dan rasulNya dan juga hamba-hambaNya yang soleh

 Tujuannya adalah untuk menarik rahmat dan pandangan Allah SWT agar menunaikan dan memakbulkan permohonan doanya. Bukan sepertimana yang disangka oleh sesetengah orang bahawa bertawassul itu ialah berdoa meminta kepada selain Allah Ta'ala, wal 'iyazubillah...

Asal Polemik Tawassul

   Kata Imam Taqiyuddin as-Subki (w. 756H) dalam Syifa' as-Saqqam fi Ziyarah Khair al-Anam (hlm. 171) : "Ketahuilah bahawa harus dan elok bertawassul, istighathah (mohon bantuan) dan memohon syafaat dengan Nabi SAW kepada Allah SWT. Keharusan dan keelokannya adalah termasuk perkara-perkara yang sudah maklum bagi setiap orang yang beragama, sudah diketahui termasuk daripada perbuatan para nabi dan rasul, sejarah para salafusssoleh, para ulama' dan masyarakat umum Islam. Tidak ada seorang pun yang mengingkarinya daripada kalangan para penganut agama-agama, mahupun didengari seumpama itu dalam mana-mana zaman, sehinggalah datang Ibn Taimiyyah, lalu ia membincangkannya dengan satu perbincangan yang  mengelirukan golongan yang daif lagi bodoh dan membuat pembaharuan yang belum pernah dilakukan orang sebelumnya dalam mana-mana zaman. Sebab itu, ia telah mengkritik kisah yang diriwayatkan daripada Imam Malik bahawa beliau berkata kepada Khalifah Mansur (tentang cara ziarah Nabi SAW) : "Mohonlah syafaat dengannya." Dan kami telah pun terangkan kesahihannya. Justeru itu, kami masukkan soal istighasah di dalam kitab ini kerana ia turut membincangkannya bersama soal ziarah. Memadailah bagimu, bahawa pengingkaran Ibn Taimiyyah terhadap istighasah dan tawassul itu merupakan satu pandangan yang belum pernah diucapkan oleh seorang alim pun sebelumnya, sehinggalah ia menjadi ikutan di kalangan umat Islam". Selesai nukilan. 

   Imam as-Subki menjelaskan bahawa perselisihan tentang tawassul hanya baru muncul di zaman Syeikh Ibn Taimiyyah. Ia kemudian telah dianggap termasuk dalam masalah-masalah khilafiyyah. Sehingga dapat dikatakan, banyak kitab fatwa kontemporari yang muncul pada hari ini tidak lepas dari membincangkan isu tawassul sama ada pro atau kontra. Kata Syeikh Hassan al-Banna dalam Usul al-'Isyrin: "Dan berdoa apabila disertai dengan bertawassul kepada Allah dengan seseorang dari makhlukNya adalah khilaf far'ie (fiqhi) dalam cara berdoa dan bukan merupakan masalah-masalah akidah."

   Isu tawassul berdasarkan perselisihan tersebut terbahagi kepada beberapa hukum, ada tawassul yang disepakati keharusannya oleh ulama Islam dan ada tawassul yang diperselisihkan keharusannya oleh mereka. Antara tawassul yang disepakati oleh ulama Islam ialah bertawassul dengan amalan soleh dan begitu juga bertawassul dengan doa orang yang masih hidup. Manakala tawassul yang diperselisihkan ialah bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia.

   Antara kekeliruan orang yang menolak tawassul dengan orang yang telah meninggal dunia ialah ianya membawa kepada syirik. Kita katakan, jika ianya syirik, maka bertawassul dengan amalan soleh atau orang yang masih hidup itu juga boleh syirik kerana ia bertawassul dengan selain dari Allah SWT, atau menganggap amalan soleh atau orang itu boleh memberi manfaat dan mudarat selain dari Allah SWT. Sedangkan maksud sebenar bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia ialan amalan soleh dan kedudukan mulianya di sisi Allah SWT yang ada pada orang itu.

     Jika bukan kerana amalan soleh dan kedudukannya, maka tidak ada apa-apa makna jika sekadar bertawassul dengan zat (tubuh badan) orang tersebut. Dari sudut ini, sebenarnya tiada apa-apa beza sama ada orang itu masih hidup atau telah meninggal dunia. Maka, bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia sebenarnya serupa juga sepertimana bertawassul dengan amalan soleh atau orang yang masih hidup yang disepakati keharusannya oleh semua ulama.

Wallahua'lam.

Sumber FB Ustadz : Adi Yadi Syansuryadi

1 Mei 2021

©Terima kasih telah membaca kajian ulama ahlussunnah dengan judul "Penjelasan Tambahan Berkenaan Tawassul dan Asal-Usul Polemik Mengenainya - Kajian Ulama". Semoga Allah senantiasa memberikan Ilmu, Taufiq dan Hidayah-Nya untuk kita semua. aamiin. by Kajian Ulama Aswaja ®