Akidah Athari versus Akidah Wahabi

Akidah Athari versus Akidah Wahabi

𝗔𝗞𝗜𝗗𝗔𝗛 𝗔𝗧𝗛𝗔𝗥𝗜 𝗗𝗘𝗡𝗚𝗔𝗡 𝗔𝗞𝗜𝗗𝗔𝗛 𝗪𝗔𝗛𝗔𝗕𝗜: 𝗦𝗔𝗡𝗚𝗔𝗧 𝗕𝗘𝗥𝗕𝗘𝗭𝗔

Kemungkinan ramai yang tidak tahu dalam bab akidah, ulama mazhab Hanbali atau Hanabilah turut disebut sebagai Athariyyah disebabkan mereka kuat berpegang dengan hadis dan athar. Kebanyakan mereka berpegang dengan aliran Athariyyah ini dan tidak mengikut aliran Asya‘irah dan Maturidiyyah. Namun begitu, mereka masih dianggap termasuk dalam lingkungan Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) kecuali sebahagian mereka yang terpalit dengan fahaman Tajsim dan Tasybih (akidah Tuhan berimej seperti makhluk). Ini telah berlaku sejak kurun keempat Hijrah lagi.

Mereka yang mendokong fahaman Tasybih dan Tajsim ini meskipun masih mendakwa sebagai Hanabilah dant Athariyyah, namun hakikatnya mereka terkeluar daripada lingkungan ASWJ. Justeru, golongan Hanabilah sebenarnya boleh dibahagikan kepada dua kelompok.

▪️ Pertama, kelompok yang menggunakan metode tafwidh dan menerima metode takwil yang bersandarkan dalil, antaranya seperti Imam Abu al-Fadhl al-Tamimi (wafat 410H) dan Imam Ibn al-Jawzi (wafat 597H).

▪️ Kedua, kelompok yang menggunakan metode ithbat semata-mata, antaranya seperti al-Qadhi Abu Ya‘la al-Farra’ (wafat 458H) dan Abu Isma‘il al-Ansari al-Harawi (wafat 481H).

Kedua-dua kelompok ini mendakwa, mereka berpegang dengan akidah sebenar Imam Ahmad bin Hanbal. Namun hakikatnya, pegangan kelompok pertama lebih bertepatan dengan akidah Imam Ahmad serta lebih sesuai disebut sebagai Athariyyah. Mereka lebih hampir dengan pendekatan akidah Asyairah dan Maturidiyyah berbanding kelompok kedua yang melancarkan tentangan hebat terhadap semua lawannya, malahan berterusan sehingga hari ini. Mereka menuduh golongan Asyairah dan Maturidiyyah menyimpang daripada jalan ulama Salaf. Misalnya, Abu Nasr al-Sijzi (wafat 444H) dalam suratnya kepada ahli Zabid, mendakwa bahawa Imam al-Asyari berpura-pura menentang Muktazilah, padahal beliau mengikuti pandangan mereka, malah lebih teruk daripada mereka. Cercaan terhadap Imam al-Asyari turut dimuatkan oleh Abu Ismail al-Ansari dalam kitab Zamm al-Kalam.

Imam Ibn Syahin (wafat 385H) pernah mengisyaratkan melalui pemerhatiannya tentang perpecahan golongan Hanabilah ini. Kata beliau: “Ada dua orang tokoh soleh yang diuji dengan pengikut-pengikut yang buruk iaitu Jaafar bin Muhammad dan Ahmad bin Hanbal.”

Maksud beliau, kedua-duanya diuji oleh Allah SWT dengan golongan pengikut yang taasub serta sering menggunakan nama mereka, namun hakikatnya menyeleweng daripada jalan mereka.

▪️ Pertama, Imam Jaafar bin Muhammad al-Sadiq (wafat 148H) yang diuji dengan ketaasuban golongan Syiah Rafidhah kepadanya dan sering mempergunakan namanya.

▪️ Kedua, Imam Ahmad yang turut diuji dengan ketaasuban sekelompok Hanabilah terhadapnya dan sering mempergunakan namanya, walhal mereka itu berfahaman Tasybih dan Tajsim.

Dalam kurun kelapan Hijrah, kelompok ini mendapat dukungan kuat daripada seorang tokoh Hanabilah terkenal bernama Syeikh Ibn Taimiyyah serta muridnya, Syeikh Ibn al-Qayyim. Namun melalui usaha ulama ASWJ, fahaman mereka menjadi kurang popular pada kurun berikutnya sehinggalah munculnya gerakan Wahabi.

Syeikhul Islam, Imam Ibnu Hajar Al-Haitami (w974H) mengatakan;

▪️ Yang dimaksud dengan para pelaku bid’ah padanya adalah sesiapa sahaja yang menyelisihi asas Ahlus Sunnah wal Jamaah. Dan yang dimaksud dengan mereka (Ahlus Sunnah wal Jamaah) adalah para pengikut Syeikh Abu Hasan Al-Asy`ari dan Syeikh Abu Mansur Al-Maturidi, dua Imam Ahlus Sunnah

[Fatawa Al-Haditsiyah, ms. 654]

Kenapa tak dikatakan oleh Syeikhul, Athari atau Ahlul Hadis tergolong dalam ASWJ? Ini disebabkan peralihan zaman berzaman dan telah membuktikan bahawa majoriti akidah Ahlul Hadis telah beralih dan mengikuti metode Asya'irah, samada beliau bermazhab Maliki ataupun Syafie.

Dan perlu diketahui umum, peralihan ahlul hadis dari manhaj - manhaj bukan sekadar dari sudut akidah, tetapi bab mengeluarkan hukum (usul fiqh) dan metode ulama' Asya'irah bermazhab Syafiiyah yang mewujudkan dasar Tariqah Al-Muta'akhirin berjaya menggabungkan cara penulisan Tariqah Al-Mutakallimin dan Tariqah Al-Fuqaha', dimana dilihat lebih praktikal bagi ahlul hadis untuk menilai sesuatu hukum yang tidak ada jawapan di dalam Quran dan Hadis. Cara ini kemudiannya diikuti oleh ulama' dari pelbagai-bagai mazhab seperti Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Mazhab Hanbali. Memilih metode yang sederhana sememangnya pilihan manhaj Ahlul Hadis apabila berhadapan dengan isu Al-Masolih Al-Muktabarah mahupun Al-Masolih Al-Mulghah, khusus lagi pada Al-Masolih Al-Mursalah. 

Disebabkan itu definisi bagi Ahlul Sunnah wal Jamaah akan terdapat perbezaan di antara para muhaqqiq sepanjang zaman, ada mengatakan 3 kelompok ada mengatakan 4 kelompok, dll dan di mana, Ahlul Hadis atau Athari tidak lagi dilihat konsisten berbanding Asya‘irah dan Maturidiyyah. وَالسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ 

Sumber FB Al-Fuqaha Al-Mutakalimin

©Terima kasih telah membaca kajian ulama ahlussunnah dengan judul "Akidah Athari versus Akidah Wahabi - Kajian Ulama". Semoga Allah senantiasa memberikan Ilmu, Taufiq dan Hidayah-Nya untuk kita semua. aamiin. by Kajian Ulama Aswaja ®