Para Ulama Al-Asha'irah

Para Ulama Al-Asha'irah

PARA ULAMA’ AL-ASHĀʿIRAH

Tokoh Ulama’ Aqidah dan Usul Fiqh Ahli Sunnah Wal Jama’ah Yang Paling Masyhur daripada Kalangan Al-Ashāʿirah

[1] Imam al-Bāqillāni (w.403H): 

Abū Bakr Muḥammad bin al-Ṭayyib, yang digelar sebagai “Shaykh al-Sunnah” dan “Lisān al-Ummah”, daripada kalangan para imam mazhab Maliki. Kepimpinan mazhab Al-Ash’arī dipegang oleh beliau pada zamannya, beliau tergolong daripada kalangan tokoh-tokoh utama Al-Ashāʿirah selepas pengasasnya [Imam] Abū al-Ḥasan al-Ashʿari, sepertimana beliau juga dikira daripada kalangan para mujaddid kurun ke-empat Hijrah.

[2] Imam Ibnu Fūrak (w.406H): 

Abū Bakr Muḥammad bin al-Hasan bin Fūrak Al-Anṣārī al-Aṣbahānī, seorang ahli hadith, ahli usul, mutakallim, ahli fiqh daripada kalangan ulama’ mazhab Shafie, beliau mengambil riwayat hadith di Basrah dan Baghdad dan meriwayatkannya di Naysabur dan beliau juga membina sebuah madrasah di sana.

[3] Imam al-Juwaynī (w.478H): 

Abū al-Maʿālī ʿAbd al-Malik bin ʿAbdullāh, daripada kalangan ulama’ mazhab Shafie. Beliau dibesarkan di dalam keluarga yang terkenal dengan ilmu dan agama. Bapa beliau adalah salah seorang daripada kalangan ulama’ dan fuqaha’ Naysabur yang terkenal. Beliau mempunyai karangan yang begitu banyak di dalam bidang tafsir, fiqh, aqidah, usul fiqh dan ibadah. Beliau digelar sebagai “Imām al-Ḥaramayn” (Imam Dua Tanah Haram) kerana beliau pernah memegang tanggungjawab sebagai imam dan tenaga pengajar di dua tanah suci, Mekah dan Madinah.

[4] Imam al-Ghazālī (w.505H): 

Ḥujjat al-Islām Abū Ḥāmid al-Shāfiʿī al-Ashʿarī. Beliau ialah seorang ahli fiqh, ahli usul, mutakallim, dan menjalani jalan ahli Sufi. Beliau dikenali sebagi salah seorang pengasas madrasah al-Ashʿariyyah di dalam ilmu kalam (aqidah). Dan [Imam] al-Ghazālī digelar dengan pelbagai gelaran sewaktu hidupnya, gelaran yang paling masyhur ialah “Ḥujjat al-Islām”. Dan di antara gelaran yang diberikan kepada beliau ialah: “Zayn al-Dīn”, “Maḥajjat al-Dīn”, “al-Ālim al-Awḥad”, “Muftī al-Ummah”, “Barakat al-Anām”, “Imām A’immat al-Dīn” dan “Sharaf al-A’immah”.

[5] Imam al-Rāzī (w.606H): 

Abū ʿAbdillāh Muḥammad bin ʿUmar al-Qurashī (asal keturunan dari Quraysh) al-Shāfiʿī al-Ashʿarī. Beliau digelar sebagai “Fakhr al-Dīn al-Rāzi”, “Sulṭān al-Mutakallimin”, “Shaykh al-Maʿqūl wa al-Manqūl”, seorang ahli tafsir, ahli fiqh, ahli usul, ahli ilmu yang ensiklopedik (menguasai pelbagai ilmu). Kajian-kajian, pengajian-pengajian dan karangan-karangan beliau merangkumi ilmu-ilmu kemanusiaan, bahasa, ilmu-ilmu ʿaqliyyah sehingga ilmu-ilmu sains praktikal dan alam tabii seperti fizik, riyāḍiyyāt (matematik, kejuruteraan, algebra dan lain-lain) perubatan dan astronomi. Beliau merupakan tokoh pemimpin mazhab al-Ashʿarī dan merupakan mujaddid bagi mazhab ini. Apabila beliau menaiki haiwan tunggangannya, maka beliau akan dikelilingi oleh puluhan penuntut ilmu yang bertanya kepadanya soalan dalam pelbagai bidang ilmu.

Sumber: Kitab “Aqīdat al-Muslim” (2023), terbitan Dā’irat al-Iftā’ al-ʿĀmm (Pusat Fatwa Umum) Jordan, muka surat:89-90. 

Para Ulama Al-Asha'irah

PARA ULAMA’ AL-ASHĀʿIRAH

Tokoh Ulama’ Tafsir Al-Quran dan Syarahan Hadith Ahli Sunnah dan Jama’ah Yang Paling Masyhur [daripada Kalangan Al-Ashāʿirah]

[1] Imam al-Bayhaqī (w.458H)

[Al-Imām al-Ḥāfiẓ al-Thabat al-Faqīh] Abū Bakr, Aḥmad bin al-Ḥusayn, seorang ahli hadith, ulama’ yang tekun dalam ilmunya, mempunyai karangan-karangan yang bermutu tinggi dan kesan-kesan yang memberi keterangan. Dikatakan berkenaannya: 

مَا مِنْ شَافِعِيٍّ إِلَّا وَلِلشَّافِعِيِّ عَلَيْهِ مِنَّةٌ إِلَّا أَبُو بَكْرٍ الْبَيْهَقِيُّ، فَإِنَّ لَهُ مِنَّةٌ عَلَى الشَّافِعِيِّ فِي نُصْرَةِ مَذْهَبِهِ

“Tidak ada di kalangan ulama’ mazhab Syafie melainkan Imam Syafie mempunyai jasa ke atasnya melainkan [Imam Abū Bakr] al-Bayhaqī, sesungguhnya beliau mempunyai jasa ke atas Imam Syafie dalam membantu mengukuhkan mazhab beliau.”

Dan Imam [Ṣalāh al-Dīn] al-Ṣafadī [al-Shāfiʿī] (w.764H) menyebut tentang beliau: “Beliau [Imam al-Bayhaqī] adalah di antara imam-imam yang agung (kibār) di dalam fiqh, hadith, nasihat dan kemuliaan di sisi para raja, mempunyai akhlak yang baik, dengan kesempurnaan maruah (kehormatan), sifat benar, thiqah dan amalan agama yang cukup indah.”

***Tambahan penterjemah: [Di antara kitab-kitab karangan beliau ialah: “Dalā’il al-Nubuwwah wa Maʿrifat Aḥwāl Ṣāḥib al-Sharīʿah”, “al-Sunan al-Kubrā”, “Maʿrifat al-Sunan wa al-Āthār”, “Aḥkām al-Qur’ān”, “Aḥādīth al-Shāfiʿī”, “Faḍā’il al-Ṣaḥabah”, “al-Jāmiʿ li Shuʿab al-Īman”, “al-Baʿth wa al-Nushūr”, “al-Asmaʿ wa al-Ṣifāt” dan “al-Irshād wa al-Hidāyah ilā Sabīl al-Rashād.”

[2] Imam al-Qushayrī (w.465H)

Abū al-Qāsim ʿAbd al-Karīm bin Hawāzin, Shaykh Khurāsān pada zamannya dari sudut kezuhudan dan keilmuan tentang agama. Beliau menetap di Naysabūr dan wafat di sana. Sulṭan Alb Arsalān (Alp Arslan) [dari Empayar Saljūq] mengkehadapankan beliau dan memuliakan beliau [di kalangan para ulama’]. Dan beliau adalah daripada kalangan ulama’ yang terkemuka di dalam mazhab al-Ashʿarī. Di antara kitab-kitab beliau ialah: “al-Taysīr fi al-Tafsīr”, “Laṭā’if al-Ishārāt fī al-Tafsīr” dan “al-Risālah al-Qushayriyyah fi al-Taṣawwuf.”

[3] Imam al-Baghawī (w.510H)

Abū Muḥammad al-Ḥusayn bin Masʿūd al-Baghawī, yang digelar sebagai “Rukn al-Din” (Rukun Agama), “Shaykh al-Sunnah” (Sheikh Sunnah) dan “Muḥyī al-Sunnah” (Penghidup al-Sunnah), seorang faqih bermazhab Syafie, ahli hadith, ahli tafsir dan beliau diibaratkan lautan ilmu yang menguasai pelbagai disiplin ilmu. Beliau mengarang tafsir al-Quran, menerangkan mushkilāt (lafaz-lafaz yang sukar difahami) daripada sabdaan Baginda Nabi , meriwayatkan hadith dan mengajarkannya. Beliau tidak akan menyampaikan pengajian melainkan dalam keadaan berwuduk. Di antara kitab-kitab beliau ialah: “al-Tahdzīb fi al-Fiqh”, “Sharḥ al-Sunnah fī al-Ḥadīth”, “Maʿālim al-Tanzīl fi Tafsīr al-Qur’ān al-Karīm”, kitab “al-Maṣābīḥ” dan “al-Jamʿ bayn al-Ṣaḥīḥayn”.

[4] Imam Ibnu ʿAsākir al-Dimashqī (w.571H)

Al-Imām al-ʿAllāmah al-Ḥāfiẓ al-Kabīr Muḥaddith al-Shām. Beliau mendengar (mengambil riwayat) hadith daripada bapa beliau dan saudara lelaki kandung beliau ketika beliau berumur enam (6) tahun. Kemudian beliau belajar dengan bilangan yang begitu ramai daripada kalangan para shuyūkh dan ulama’ di Syam. Di antara kitab beliau yang penting ialah: “Tabyīn Kadzb al-Muftarī fīmā Nasab ilā al-Imām Abī al-Ḥasan al-Ashʿarī”. Di dalam kitab ini, beliau mempertahankan para ulama’ al-Ashāʿirah dan al-Shaykh [Abū al-Ḥasan] al-Ashʿarī.

[5] Shaykh al-Islām al-Imām al-Nawawī (w.676H)

Yaḥyā bin Sharaf al-Ḥizāmī al-Nawawī al-Shāfiʿī, seorang ahli hadith, ahli fiqh, pakar bahasa Arab. Beliau terkenal dengan kitab-kitab dan karangan-karangan beliau yang pelbagai di dalam bidang fiqh, hadith, bahasa arab dan tarājum seperti “al-Arbaʿīn al-Nawawiyyah”, “Minhāj al-Ṭālibīn”, “Rawḍat al-Ṭālibīn”. Beliau disifatkan sebagai muḥarrir (penyaring) mazhab Syafie, pentahdzībnya, petanqīḥnya dan penyusunnya. Beliau juga digelar sebagai “Shaykh al-Shāfiʿiyyah.”

[6] Imam al-Bayḍāwī (w.685H)

Nāṣir al-Dīn ʿAbdullāh bin ʿUmar al-Shīrāzī al-Bayḍāwī. Beliau telah mengarang kitab dalam bidang-bidang ilmu Islam kesemuanya. Dunia Islam mengenali beliau dengan taḥqīq dan keilmuan yang kukuh dan teguh. Di antara kitab-kitab beliau ialah “Tafsīr Anwār al-Tanzīl wa Asrār al-Ta’wīl”, kitab “al-Ghāyat al-Quṣwā fī Dirāyat al-Fatwā”, “Sharḥ Mukhtaṣar Ibn al-Ḥājib fī al-Uṣūl” dan kitab “al-Minhāj fī Uṣūl al-Fiqh.”

[7] Shayk al-Islām al-Imām Ibnu Ḥajar al-ʿAsqalānī (w.852H)

Abū al-Faḍl Aḥmad bin ʿAlī, yang digelar sebagai “Amīr al-Mu’minīn fī al-Ḥadīth”. Beliau memegang tugas penfatwaan, dan bertugas di Dār al-ʿAdl (makhkamah). Beliau merupakan Qāḍī Quḍāt al-Shāfiʿiyyah dan sangat mengambil berat dan memberikan sepenuh perhatian tugas pengajaran ilmu dan menyibukkan dirinya untuk itu. Dan tiada apa pun yang boleh mengalihkan perhatian beliau dari pengajaran walaupun pada hari-hari beliau telah menjawat jawatan kehakiman dan penfatwaan. Dan beliau telah mengajar di madrasah-madrasah paling masyhur di dalam dunia Islam pada zamannya seperti al-Madrasah al-Shaykhūniyyah, al-Maḥmūdiyyah, al-Ḥasaniyyah, al-Baybarasiyyah, al-Fakhriyyah, al-Ṣalāhiyyah dan al-Mu’ayyidiyyah.

[8] Imam Badr al-Dīn al-ʿAynī (w.855H)

Maḥmūd bin Aḥmad, al-Ḥāfiẓ al-Muḥaddith al-Mu’arrikh al-ʿAllāmah daripada kalangan tokoh-tokoh Islam kurun kesembilan Hijrah, daripada kalangan ulama’ Ḥanafiyyah. Di antara kitab-kitab beliau ialah: “ʿUmdat al-Qārī fī Sharḥ Ṣaḥīḥ al-Bukhārī”, dan ia merupakan salah satu dari kitab syarahan terbaik bagi Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, beliau mengambil masa selama dua puluh (20) tahun untuk menyiapkannya, dan “al-Bināyah fī Sharḥ al-Hidāyah” dan ia merupakan sebuah kitab fiqh mazhab Hanafi.

[9] Imam Jalāl al-Dīn al-Suyūṭī (w.911H)

ʿAbd al-Raḥmān bin Abū Bakr. Beliau telah menulis sekitar enam ratus (600) buah kitab. Beliau membesar di Kaherah, Mesir dalam keadaan yatim. Dan apabila beliau mencapai umur empat puluh (40) tahun, maka beliau mula berʿuzlah dan mengarang kebanyakan kitab-kitab beliau. Orang-orang kaya dan para pemerintah sentiasa menziarahinya dan menawarkan kepadanya harta-harta dan hadiah-hadiah, tetapi beliau menolaknya. Di antara kitab beliau ialah “al-Itqān fi ʿUlūm al-Qur’ān”, “Itmām al-Dirāyah li Qirā’ay al-Niqāyah”, kitab “al-Ashbāh wa al-Naẓā’ir fī al-ʿArabiyyah”, “Furūʿ al-Shāfiʿ’iyyah”, “al-Iqtirāḥ fī Uṣūl al-Naḥw” dan “al-Iklīl fi Istinbāṭ al-Tanzīl.”

PENUNTUT ILMU 

Sumber: Kitab “Aqīdat al-Muslim” (2023), terbitan Dā’irat al-Iftā’ al-ʿĀmm (Pusat Fatwa Umum) Jordan, muka surat:90-92.

baca juga :

Sumber FB Ustadz : Abdullaah Jalil

©Terima kasih telah membaca kajian ulama ahlussunnah dengan judul "Para Ulama Al-Asha'irah - Kajian Ulama". Semoga Allah senantiasa memberikan Ilmu, Taufiq dan Hidayah-Nya untuk kita semua. aamiin. by Kajian Ulama Aswaja ®