Disunatkan Pembacaan Al-Quran di Sisi Kubur

Disunatkan Pembacaan Al-Quran di sisi Kubur

Pandangan Muktamad Mazhab Hanbali: 

Disunatkan Pembacaan Al-Quran di sisi Kubur

- bertentangan dengan fatwa "utara" 

<<<<< >>>>>

Al-Imam Abū al-Saʿādāt Manṣūr bin Yūnus al-Buhūtī al-Ḥanbalī al-Miṣrī al-Qāhirī (w.1051H) berkata di dalam kitabnya “Kashshāf al-Qināʿ ʿan Matn al-Iqnāʿ”, Jil. 4, hal. 234-235:

(و‌‌لا تكره القراءة على القبر، و) لا (في المقبرة، بل تستحب) لما روى أنس مرفوعا قال: "من دخل المقابر فقرأ فيها يس، خفف الله عنهم يومئذ، وكان له بعددهم حنسات"، وصح عن ابن عمر أنه أوصى إذا دفن أن يقرأ عنده بفاتحة البقرة وخاتمتها. ولهذا رجع أحمد عن الكراهة. قاله أبو بكر. لكن قال السامري: يستحب أن يقرأ عند رأس القبر بفاتحة البقرة، وعند رجليه بخاتمها

“(Dan TIDAK DIMAKRUHKAN pembacaan Al-Quran ke atas kubur) dan tidak juga (di tanah perkuburan, bahkan ianya DISUNATKAN) berdasarkan riwayat Anas رَضِيَ اللهُ عَنْهُ secara marfūʿ bahawa beliau berkata: 

“Barang siapa yang memasuki tanah perkuburan, lalu dia membaca surah Yāsīn padanya, maka Allah سُبْحَانَهُ وَتَعَالَى akan meringankan azab penduduk kubur tersebut pada hari tersebut dan baginya pahala kebajikan sebanyak bilangan penduduk kubur di situ.”

Dan telah datang riwayat yang sahih daripada ʿAbdullāh Ibnu ʿUmar رَضِيَ اللهُ عَنْهَا bahawa beliau telah mewasiatkan agar dibacakan di sisi [kubur]nya pembuka (bahagian awal) surah al-Baqarah dan penutupnya ketika beliau dikebumikan.

Maka oleh kerana inilah, maka [Imam] Ahmad [bin Hanbal] menarik semula kenyataannya tentang makruh membaca Al-Quran di perkuburan. Perkara ini telah dinyatakan oleh [al-Ḥāfiẓ] Abū Bakr [al-Khallāl al-Ḥanbali].

Al-Sāmiri pula berkata: 

Disunatkan untuk dibaca di sisi kepala kubur [orang yang telah wafat] dengan pembuka [surah] al-Baqarah dan di sisi kedua kakinya dengan penutup al-Baqarah.”

PENUNTUT ILMU - Album Imam Ahmad dan Mazhab Hanbali

Sumber FB Ustadz : Abdullaah Jalil

Sampainya Pahala Bacaan Al-Quran kepada Orang Islam Yang Telah Wafat

Al-Shaykh Prof. Dr. Wahbah al-Zuḥaylī:

Ulama’ Empat Mazhab (Termasuk Ulama’ Muta’akhkhirīn Mazhab Syafie) Bersepakat Menyatakan Sampainya Pahala Bacaan Al-Quran kepada Orang Islam Yang Telah Wafat

<<<<< >>>>>

Al-Shaykh Prof. Dr. Wahbah al-Zuḥaylī menyebut di dalam karyanya yang terkenal “al-Fiqh al-Islāmi wa Adillatuh”, [Maṭlab: (التعزية وتوابعها), Isu: (القراءة على الميت وإهداء الثواب له)], Jil. 2, hal. 1581:

وحقق المتأخرون منهم (الشافعية) وصول ثواب القراءة للميت، كالفاتحة وغيرها. وعليه عمل الناس، وما رآه المسلمون حسناً فهو عند الله حسن. وإذا ثبت أن الفاتحة تنفع الحي الملدوغ، وأقر النبي صلّى الله عليه وسلم ذلك بقوله: «وما يدريك أنها رقية؟» كان نفع الميت بها أولى. وبذلك يكون مذهب متأخري الشافعية كمذاهب الأئمة الثلاثة: أن ثواب القراءة يصل إلى الميت، وبذلك يكون مذهب متأخري الشافعية كمذاهب الأئمة الثلاثة: أن ثواب القراءة يصل إلى الميت

“Dan para ulama’ muta’akhkhirīn daripada kalangan ulama’ mazhab Syafie telah mentahqiqkan bahawa sampainya pahala bacaan Al-Quran kepada si mati seperti bacaan Al-Fātiḥah dan selainnya. 

Dan inilah pandangan yang menjadi amalan umat Islam. 

Dan “perkara yang dilihat baik (ḥasan) oleh para Muslimin, maka ia juga baik (ḥasan) di sisi Allah.”

Dan jika telah thābit bahawa Al-Fātiḥah memberi manfaat kepada orang hidup yang dipatuk binatang berbisa, dan Baginda Nabi صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ telah memperakui hal ini denga bersabda: 

“Bagaimana kamu tahu ia (al-Fatihah) adalah satu ubat penyembuhan?!”,

maka manfaatnya buat orang yang telah mati adalah lebih utama.

Dan dengan itu, maka mazhab ulama’ muta’akkhirīn Shāfi’iyyah adalah sama seperti mazhab Imam yang tiga (Hanafi, Maliki dan Hanbali), iaitu: 

“Sesungguhnya pahala bacaan Al-Quran sampai kepada si mati.”

PENUNTUT ILMU - Hujah dan Dalil Amalan Tahlil

Sumber FB Ustadz : Abdullaah Jalil

©Terima kasih telah membaca kajian ulama ahlussunnah dengan judul "Disunatkan Pembacaan Al-Quran di Sisi Kubur - Kajian Ulama". Semoga Allah senantiasa memberikan Ilmu, Taufiq dan Hidayah-Nya untuk kita semua. aamiin. by Kajian Ulama Aswaja ®